AZRINAZ DAH BERCERAI DENGAN SULTAN BRUNEI
AZRINAZ bersama dua anaknya.
BANDAR SERI BEGAWAN: Sultan Brunei malam tadi mengumumkan baginda menceraikan isteri kedua baginda, Azrinaz Mazhar Hakim selepas lima tahun berkahwin dengan bekas wartawan TV3 itu.
Sultan Hassanal Bolkiah, 63, mengahwini Azrinaz pada 2005 dan mempunyai dua anak, seorang lelaki dan seorang perempuan.
Dalam pengumuman khas yang dibuat di seluruh Brunei jam 8 malam itu dan disiarkan Radio Televisyen Brunei dibacakan Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Alauddin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Abu Bakar antara lain menyebut
“Atas sebab tertentu (yang tidak dinyatakan), berlandaskan hukum syarak berhubung perkahwinan, pada petang Rabu (16 Jun 2010) baginda Sultan Brunei menceraikan isteri baginda, Azrinaz Mazhar Hakim dengan talak satu.”
Azrinaz, 30, melahirkan anak lelaki mereka kira-kira setahun selepas berkahwin manakala anak kedua, seorang perempuan pada 2008.
Menurut agensi berita AP, Istana Brunei turut menarik balik semua gelaran Dirajanya.

Bagaimanapun tiada butiran lanjut diberikan.
Azrinaz dan Sultan Brunei diijabkabulkan pada 2005 di sebuah istana kerabat diraja Brunei di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, dalam satu majlis tertutup dan hanya dihadiri keluarga, sanak saudara dan sahabat terdekat kedua-dua pihak.
Azrinaz atau lebih mesra dipanggil sebagai Naz adalah lulusan Diploma Penyiaran dan bertugas di stesen TV3 sejak 1999 sebelum meletakkan jawatannya sebagai Eksekutif Wartawan Penyiaran pada Mei 2005 atas alasan ‘untuk menjalankan perniagaan sendiri.’
Sumber: BERITA HARIAN
| Print article | This entry was posted by hafizizain on June 17, 2010 at 1:20 pm, and is filed under Pengumuman Khas. Follow any responses to this post through RSS 2.0. You can leave a response or trackback from your own site. |






